**~DERMA~****~DERMA~****~DERMA~****~DERMA~**

TABUNG PASTI

Bank Islam : No Akaun 02048020130995



TABUNG DPPB

No Akaun BIMB: 02048010008716





06 August 2009

Wahai Pemuda Pejuang !!!

Petikan blog: Pemuda PAS Sandakan

Jalan di hadapan kita terentang jauh dan berliku. Jalan yang telah dirintis oleh pendahulu kita juga panjang dan berliku. Kita tidak tahu bilakah akan kita temui penghujung jalan ini. Namun kita yakin, malah wajib meyakini bahawa penghujung jalan perjuangan ini adalah ganjaran syurga daripada Allah SWT.

Kita telah memilih untuk hidup berjemaah. Maka bergerak dan berkerjalah sebagai sebuah jemaah.

Jemaah adalah laksana koloni sang anai-anai yang bisa meranapkan sebuah bangunan tinggi. Kitalah koloni itu, yang bertekad meruntuhkan sebuah bangunan yang dibina oleh para juhala sehingga terbentuk menara jahiliah yang berdiri kekar sehingga kini. Biar…biar betapa sukar…kita perlu bulatkan tekad. Meski kita mati sebelum melihat keruntuhannya, asal kita mati dalam perjuangan mulia ini.

Jemaah juga merupakan satu arus yang mengalir dari legeh pergunungan. Ia telah mengalir melintasi segala hutan dan belantara. Ia telah mencelah segala lembah, jurang maupun dataran pamah. Ia juga telah mengalir menembusi desa dan kota. Ia akan tersu mengalir dan tidak akan pernah berhenti sehingga menemui penghujungnya yang bersatu di al-kauthar. Janganlah letih dan malas dengan perjalanan panjang berliku sungai jemaah ini. Kerana tiada sungai yang mengalir terus melainkan sungai jemaah yang mendokong perjuangan kebenaran ini.

Jemaah…laksana angin yang menderu. Ke barat dan timur harus sehala berpadu. Nyahkan gumpalan awan kebatilan yang menghalang. Angin jemaah akan bertiup dalam kondisi apapun. Sebagai angin sepoi-sepoi bahasa maupun sebagai ribut membadai. Angin ini adalah angin perjuangan suci dan tidak pernah akan berhenti hinggalah direnggut sor-sor akhir zaman.

Oleh itu, bagi yang telah memilih jemaah ini sebagai medan perjuangan, semoga penggabungan anda akan menjadikan anda salah satu mata rantai para pendahulu yang telah pergi. Mereka telah mendapat apa yang dijanjikan buat mereka. Kita…mudah-mudahan masih menunggu terkotanya janji itu buat kita.

من المؤمنين رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه فمنهم من قضى نحبه ومنهم من ينتظر وما بدلوا تبديلا

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang gugur. dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka tidak merobah (janjinya),
(Surah Al-Ahzab: Ayat 23)

Mesyuarat Penyelarasan JSP 2




Berikut merupakan butiran lengkap mesyuarat:

Tarikh : 4 Ogos 2009
Hari : Selasa
Masa : 8.30 Malam
Tempat : Markas PAS Kupang

Agenda :
1. Jumlah Penyertaan
2. Senarai Keahlian PAS
3. KONVOI
4. Majlis Pelancaran

05 August 2009

Demi Allah, saya akan terus bangkit....!

Azamin Amin Tue Aug 04, 09 4:28:48 pm MYT

'Pagi sapu sampah, tengah hari cuci tandas dan malam jadi jaga. Demi sesuap nasi, saya redha.'

Itulah antara pengalaman terbaik, hikmah Allah mengajar saya, agar menyelami dan menyelusuri pahit maung, kehidupan insan mencari rezeki halal di sisi Tuhan. Izinkan saya merakamkan saat-saat bangkit selepas tersungkur...

Hidup ini ada pasang-surut. Tak lepas ujian demi ujian melintasi. Ada masa di atas, sekali-sekala di bawah. Sihat dan ada waktu jatuh sakit. Begitu juga manusia, ada yang suka, tidak kurang juga yang benci dan mencerca. Watak-watak dan aksi-aksi ini, merupakan mata pelajaran yang tiada di dalam kelas dan kuliah tetapi sering kali disebut dalam kitab Allah.
"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan saja mengatakan; 'Kami telah beriman,' sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."-Surah Al-Ankabut ayat 2-3

Namun semua itu, baik yang kecundang atau tersungkur bukanlah pengakhiran kehidupan. Teringat, sewaktu menganggotai kadet tentera sekolah, slogan Renjer 'Agi Idup Agi Gelaban' - "selagi hidup, selagi berjuang" menjadi prinsip saya, menangkis cabaran mendatang.
Tahun 1999, saya berkelana dan merantau ke Johor Bahru, berkhidmat sebagai jurujual - salesman demi menampung kehidupan mencari rezeki. Selama setahun berada di kedai-kedai milik majikan saya yang diberi nama Galeri Perdana, satu di Kota Raya dan satu di Giant, Plentong yang menjual tulisan khat atau 'frame' ayat-ayat al-Quran ukiran kaca.
Selama itu jugalah saya 'bergelumang' menjadi jurujual sepenuh masa dari setiap hari bermula jam 10.00 pagi sehingga jam 9.30 malam. Kerja saya kemudiannya berterusan sehingga hari Sabtu dan Ahad ataupun cuti-cuti umum Malaysia.

Mencari sesuap nasi

Ada kalanya, cukup memenatkan, bosan dan tiada 'life'. Tatkala melihat rakan-rakan atau orang lain mempunyai masa 'enjoy' mereka, saya terperusuk di kaki kedai untuk sekian lamanya. Tetapi itulah harga bagi sebuah kesabaran, secubit pendapatan buat pengalas perut.
Kesabaran tidak terhenti setakat itu, tetapi diuji dengan karenah pelanggan aneka 'warna' dan ragam.
Suatu hari saya pernah dijerkah, ditempik dan dimaki seorang pelanggan di tengah orang ramai atas kesalahan yang bukannya berpunca daripada saya. Iyelah, tak salah dia, sebab barang yang dia pesan tak muncul-muncul, walaupun telah dibayar harga sepenuhnya.
Lalu, ilmu yang cebis, saya manfaatkan sebaiknya. Saya panggil, lantas minta dia duduk dengan tenang, sambil mengusap belakangnya sedikit. Ya, jika sedang berdiri, minta dia duduk supaya hilang marahnya. Tak silap ada hadis tentang itu.

"Pakcik, apa boleh saya bantu? Pakcik ceritakanlah baik-baik, supaya senang saya bantu," kata saya dengan nada yang santun.Barulah reda marahnya dan mencebiskan segala-galanya. Di penghujungnya, dia minta maaf kerana berkasar dengan saya.
Ujian kesabaran itu bersambung lagi apabila, setiap malam, setelah pulang daripada berkerja, majikan akan bertanya pula, berapakah jualan yang telah saya dapat pada hari ini. Tekanan cukup tinggi, mesti ada barang yang dijual hari-hari.

Bukan sesuatu yang mudah untuk menjual frame ayat-ayat al-Quran ukiran kaca yang berharga antara RM750 sehinggalah mencecah RM3,000. Tak percaya?

Ada ketika, tatkala dibakar terik mentari saya tuju rumah ke rumah sambil menggendong beberapa buah khat al-Quran itu. Ada masa saya dihalau dan selalunya tidak dilayan. Apa boleh buat jurujual seperti saya, sering di pandang negatif.

Pernah sekali itu di Masai, Johor, saya mendengar jeritan kanak-kanak di dalam rumah sehingga jiran-jiran semua menjenguk di tepi jendela rumah mereka.
"Mak, orang jahat datang....!"
Rupanya sikecil itu memanggil saya 'orang jahat' dan tanpa fikir panjang, saya terus buka 'langkah seribu' meninggal rumah tersebut sebelum keadaan menjadi bertambah kelam-kabut.
Ada juga saya buat kerja di 'luar kotak' fikiran. Selalunya orang menjual buah durian, air atau bantal kekabu di tepi jalan tetapi kali ini saya menjual khat-khat ayat al-Quran dengan harga tertampal RM880.00 di tepi simpang jalan utama. Banyaklah kereta yang berhenti dan terperanjat dengan tindakan 'gila' saya ini.

Itulah antara mehnah-mehnah yang saya lalui selama 365 hari. Ada kalanya rasa muak dan nak muntah namun demi mencari sesuap nasi, saya gagahkan jua.

Lazimnya, bagi menenangkan hati untuk berdepan dengan pelanggan, jualan dan majikan, setiap hari, saya cebiskan masa sekadar cuma 10 minit untuk membaca satu dua helaian al-Quran, senaskah kecil yang sering saya bawa ke mana-mana.

Walaupun sedikit rasanya dan hanya sekelumit doa setiap pagi, tetapi Allah itu Maha Penyayang.
Alhamdulillah, dari segi jualan secara puratanya, ada sahaja pelanggan yang membeli setiap hari. Tidak pernah menjangkau selama tiga hari, saya tidak dapat menjual apa-apa.

Di penghujung tahun, atas kesabaran yang dilalui peluh, perit, jerih dan sakit, saya berjaya meraih jualan sejumlah RM280,000 selama setahun bertugas sebagai jurujual.

Tanpa diduga, syarikat jualan telah memanggil saya kembali bertugas ke Kuala Lumpur dan dilantik sebagai Pengurus Operasi Zeq Holdings Bhd. Syarikat ini masih lagi beroperasi sehingga kini, menjadi pereka bentuk hiasan dalaman untuk masjid dan kediaman.

Daripada Hero ke Zero

Semua ini, kerja Allah. Allah yang menggerakkan hati manusia dan Dia jugalah menampakkan segala-galanya. Ya, buatlah kerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, tanpa perlu menunjuk-nunjuk, kerana Allah itu kan ada, yang amat mengetahui susah senang hamba-Nya.
Inilah masa saya di puncak. Selama setahun, bergegas saya ke sana ke mari, cuti entah ke mana, waktu makan tak tentu masa dan rehat sepicing saja.
Itu semua gara-gara demi mencapai matlamat jualan RM 1 juta untuk sekitar Lembah Kelang namun sekadar mampu mencapai RM250,000 sahaja. Bukan kerja saya seorang, tetapi dibantu oleh pasukan pengurus jualan dan jurujual yang lain juga.

Genap setahun, saya mengambil keputusan untuk berhenti dan menjalankan perniagaan sendiri, diberi nama Exzeq Trading. Asasnya produk yang sama, menjual khat al-Quran ukiran kaca, sambil berkerjasama bersama seorang kawan bernama Azman Abdullah.
Pada tahun pertama, kami berjaya 'menggapai' bintang. Saya sewa tapak pameran, dan perniangaan sangat-sangat menguntung. Kami rasa 'mewah' seketika. Namun disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari, tahun berikutnya perniagaan saya mula 'lemas' kewangan.
Waktu itu, musim gawat. Tidak ramai yang sanggup berkorban untuk membeli barangan hiasan rumah seperti khat al-Quran yang mencecah ratusan dan ribuan ringgit ini. Lebih baik mereka menampung kehidupan dan melapikkan perut yang kosong.

Sampailah ke penghujung tahun, perniagaan saya jatuh 'tersungkur'. Sungguh kecewa dan rasa putus asa kemudian menjelma. Dari atas saya naik, kemudian jatuh merudum.

Lalu saya kutip semangat yang jatuh berkecai satu - persatu dan saya cuba memupuk hati yang lara. Saya panjatkan kesyukuran kepada Allah, kerana saya masih mendapat hidayahnya.
Bayangkanlah dalam keserabutan itu, pelbagai idea-idea iblis menjelma, seperti merompak, mencuri, menipu, buat kerja-kerja kotor seperti jual dadah atau paling mudah membunuh diri.
Itulah jalan cepat untuk kaya dan jalan cepat untuk mati. Nasihat-nasihat itu, alhamdullillah tidak pernah saya ikuti dan termakan oleh nurani.
Dalam kecundang, saya memanjatkan doa bertali arus, sama deras dengan air mata membasah pipi. Mohon kepada Illahi, agar menolong diri ini, daripada tersembam ke bumi dan tidak bangkit lagi.

"... dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." -Surah Yusuf ayat 12

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi derajatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." - Surah Al-Imran ayat 139

Tanpa memilih kerja dan malu di muka, saya memohon, bekerja di sebuah Resort sederhana sebagai pekerja am. Dengan berbekalkan gaji RM680.00 sebulan, saya redha dan cuba menahan diri.

Daripada pengurus, berniaga sendiri akhirnya kembali menjadi kuli. Daripada 'Hero ke Zero' semula. Daripada ada, kembali kepada kosong. Daripada di puncak, kini di curam, saya redha kerana ini ujian untuk saya. Dan saya mesti bangkit dan terus bangkit lagi!
Saya ketepikan rasa malu dan tabahkan hati. Ya, sebenarnya perasaan malu tidak dapat memberi apa-apa makna dalam hidup apatah lagi memberi kita segumpal wang untuk meneruskan kehidupan.

Selaku pekerja am, saya berkerja dari awal pagi menyapu sampah-sarap dan membuang daun-daun kering di seluruh resort. Menjelang tengah hari saya perlu mencuci tandas, bilik air dan membuat kerja-kerja mengemas bilik penginapan - 'house keeping' pula.

Betulkan katil, ganti cadar lama ke cadar baru. Vakum dan mop lantai sekurang-kurangnya 20 bilik. Pastikan jamban tidak tersumbat dengan aneka sampah dan najis, itulah kerja hakiki saya.

"Biarlah susah, Allah kan ada. Janji halal dan tak susahkan orang.
"...yang penting...dapat tampung susu anak," pujuk rayu hati saya agar air mata ini tidak tumpah.

Paling mencabar dan tidak tahan, ketika membuat kerja-kerja kebun seperti mencangkul di waktu bulan puasa. Ada sekali, saya dan rakan sekerja diarah mengorek tanah, seluas kolam kecil di kala tengah hari.
Saya sudah hampir-hampir berbuka, tak tahan rasanya. Rakan saya juga turut 'meracun' nafsu, apabila bersedia untuk membeli sebotol air sejuk bergas di kedai.

Akhirnya, saya ambil keputusan, merebahkan diri di tepi tanah itu untuk melepakkan mata, kerana kepenatan yang amat sangat. Dan alhamdulillah, lena dan tidur kurniaan Allah itu, tidak jadi saya berbuka puasa, termasuk rakan saya.

Tidak cukup dengan itu, ada pelanggan yang memandang sinis, merenung mata dan mengarah membabi-buta, lantaran tugas saya hanya sekadar kuli.
"Tak ada air panas ke resort ni? Saya hari-hari mandi air panas tau. Sekarang saya nak awak masak dan jerangkan air panas untuk saya!" kata seorang peserta kursus yang menginap di resort ini. Itu hanya satu, daripada 1,000 ragam yang saya temui setiap hari.

Daripada Zero ke Hero

Kerja saya pula tidak terhenti selepas jam 5.00 petang.Saya kembali pula ke resort pada 11.30 malam untuk menjadi pengawal keselamatan pula, untuk mendapat sedikit wang tambahan sebagai upah.
Bermula tengah malam sehingga subuh hari. Nyawa adakalanya terancam dan malam hari sering diganggu dengan bunyi-bunyi misteri sehingga esok hari.

Kini saya faham -sangat perasaan watak-watak yang berkerja sebagai kuli ini. Allah beri saya secebis ilmu, untuk selami denyut nadi, rakyat marhaen kepada saya. Mereka juga ada jiwa dan rasa. Mereka juga dilahirkan manusia.

Ada masa mereka juga turut tersinggung apabila dihina dan tidak diberi perhatian. Setiap kali menyapu, hati akan sayu bila melihat, orang membuang sampah sesuka rasa.

Tiap kali mencuci, rasa pedih di hati melihat manusia membuang najis merata-rata. Dan tiap kali mengawal dan menjadi jaga, saya rasai debaran di hati mereka, yang resah menanti musuh yang tiba-tiba menerpa.
Dari situ, saya belajar untuk tidak menghina sesiapa pun, baik tutur, baik warna kulit, baik agama atau apa jua perkerjaannya, saya hormati, kerana mereka mencari rezeki yang halal, sesuap nasi untuk isteri dan anak-anak dikasihi.

Jangan cerca dan caci mereka, mereka juga manusia seperti kita, hanya membuat kerja yang diarah semata.
"Azamin, sudah sampai masanya awak berhenti dan mencari peluang kerja yang lebih baik kerana awak mempunyai potensi besar di luar sana.
"Di sini, awak tidak akan berkembang ke mana-mana dan kerja ini tidak sesuai untuk awak," kata penyelia saya, Encik Anuar suatu pagi membuatkan hati terasa sebak yang amat.
Lebih menyayat hati, Tuhanku, Allah tidak pernah meninggalkan saya, apatah lagi ketika saya benar-benar menderita. Allah sentiasa mendengar keluh kesah hati.

Dengan izin dan bantuan Tuhan, saya menapak kembali dari "Zero menuju ke Hero" semula, berdikit-dikit walaupun sakit...
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216

Tidak lama selepas itu, Allah mendorong gerak langkah untuk saya menyertai Harakah sebagai sebagai jurujual di laman web Harakahdaily. Ringkas cerita, ujian melintasi saya, yang kemudiannya diserapkan sebagai wartawan selama tiga tahun.

Tiga tahun itu juga, dari utara selatan, timur barat dan dari bandar ke desa saya tuju menimba ilmu kewartawanan, di samping berhadapan dengan 2,001 macam mehnah dan watak manusia.

Sehinggalah Disember tahun lalu, ujian kembali menduga apabila saya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarang Harakahdaily sehingga kini.

Dan kini ujian demi ujian terus 'menyambar' dan menusuk saya, dan saya
akan terus bangkit dan bangkit lagi!
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal." -Surah At-Taubah ayat 129

Dan jangan pernah berputus asa dalam memohon rahmat-Nya.
Selagi hayat dikandung badan, selagi ibu perlukan kasih anak, selagi isteri dambakan cinta suami, selagi cahaya mata mahukan belaian ayahnya dan susu untuk perutnya.....selagi itulah saya akan terus bangkit ...!
Sama ada daripada 'zero ke hero', atau 'hero ke zero', Allah sentiasa di sisi. Hanya Allah sahaja yang mengetahui. Izinkan saya berundur diri, sampai masa ketemu lagi...

04 August 2009

AD-DIN AN- NASIHAH

Oleh ~ Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Nasihat menjadi tonggak penting dalam agama Islam, agar kebenaran dapat ditegakkan dan kebatilan dapat dimansuhkan. Peranan untuk menegakkan nasihat menjadi kewajipan seluruh umat di semua peringkat dan lapisan.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Agama itu adalah nasihat." Para sahabat bertanya: "Untuk siapa? Sabda Rasulullah s.a.w: "Untuk Allah, Rasul-Nya, untuk kitab-Nya, untuk para pemimpin dan orang ramai."
- Hadis Sohih riwayat Imam Muslim dalam kitab al-Imam.

Nasihat untuk Allah ialah dengan menepati hukum-Nya, menegakkan agama-Nya dan hukum-hakam-Nya kerana Allah semata-mata. Bukan kerana mengampu, sehingga tidak berani untuk mencegah kemungkaran, tetapi hanya menyuruh yang baik secara terhad dan menjadi pengecut untuk mencegak kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin yang berkuasa di dalam negara.
Umat Islam menjadi bertambah malang dengan kewujudan mereka yang disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya 'Ihya' 'Ulumddin' sebagai 'ulama su' yang bersekongkol dengan mereka yang zalim serta sanggup menjadi syaitan bisu. Ini dilakukan kerana takutkan manusia sama seperti takutkan Allah SWT, atau lebih daripada takutkan Allah atau menganggap rezekinya di tangan pemerintah bukannya datang daripada Allah SWT.

Nasihat untuk Rasulullah pula ialah dengan menjadikan baginda contoh teladan di dalam semua perkara. Juga nasihat agar menepati sunnahnya dan meneruskan ajarannya setelah baginda wafat. Nasihat kerana Rasulullah sentiasa hidup, tidak wafat dengan kewafatan baginda, juga mencontohi keberanian baginda yang tidak gentar menghadapi sesiapa, walaupun kuasa besar dunia yang zalim.

Juga percaya kepada amanat Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang sohih bahawa menasihati kerajaan yang zalim adalah jihad akhbar (paling besar). Manakala riwayat yang menyatakan jihad hawa nafsu adalah paling besar, adalah dikira hadis daif, bahkan ada ulama hadis yang menyenaraikannya daripada kalangan hadis palsu, iaitu bukan hadis, tetapi kata-kata seorang yang bernama Ibrahim bin Ablah.

Nasihat kerana kitab Allah ialah dengan menegakkan isi kandungannya dalam segenap aspek. Ia termasuk akidah, syariat, akhlak, dan sistem kehidupan seluruhnya termasuk dalam perkara undang-undang supaya diamalkan dengan tepat. Juga menasihati mereka yang tidak beramal dengan cara yang tidak tepat supaya memperbetulkannya dengan cara menepati matlamat hukum yang terdapat di dalam kitab Allah Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

Melalui nasihat, pemimpin berpeluang membetulkan rakyatnya yang tidak betul, bahkan berpeluang untuk membetulkan dirinya sendiri supaya menjadi contoh kepada rakyat. Nasihat juga mengajarnya untuk bersikap kepadanya dan dia tidak melenting apabila benar-benar melakukan kesilapan, kerana pemimpin adalah mahkluk manusia yang tidak boleh berlagak menjadi Tuhan.

Nasihat juga menjadi hak rakyat, untuk memberi nasihat kepada pemimpin dan menerima nasihat di kalangan mereka serta menerima nasihat daripada pemimpin. Rakyat juga berperanan untuk menasihati pemimpin, sekiranya pemimpin mereka menyeleweng. Hak rakyat untuk memberi nasihat tidak boleh dinafikan oleh kerajaan.

Allah berfirman melalui surah al-'Asr yang bermaksud: "Demi Mass! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan sabar."

Tetapi kewajipan nasihat ini telah diabaikan kerana terdapat sindrom yang melanda umat Islam di negara kita hingga ke tahap yang sangat membimbangkan.

Sindrom yang mengongkong para pemimpin : Negara dikepalai oleh barisan kepimpinan yang diikat dengan budaya menonjolkan diri dengan membariskan pimpinan bawahannya semata-mata untuk membina kekuatan kedudukannya, iaitu membariskan pelapis yang takut kepada siapa sahaja yang menjadi pemimpin utama. Pekara ini menyebabkan kita diperintah oleh kalangan yang tidak dapat membetulkan kelemahan-kelemahan yang berlaku.

Antara punca yang menimbul gejala ini ialah perkara-perkara berikut:
Hub al-Riasah wa al-Jah (Rakus untuk menjadi pemimpin dan gila kuasa).

Sifat ini menyebabkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja untuk menaikkan dirinya, bukan sahaja sanggup mebaurkan wang, bahkan sanggup mengorbankan kawan sendiri. Berkawan bukan kerana Allah tetapi kerana ada kepentingan untuk naik lebih tinggi.

Penyakit ini menyebabkan pemimpin tidak mendapat pertolongan dan keberkatan Allah S.W.T. Sangat benar sabda Rasulullah s.a.w kepada sahabatnya iaitu Abdul Rahman bin Samurah maksudnya: "Wahai Abdul Rahman Samurah! Janganlah anda meminta untuk menjadi ketua. Jika sesuatu jawatan yang diberi kepadamu kerana permintaan engkau sendiri, nescaya ia akan diserakan kepadamu tanpa pertolongan. Sekiranya ia diberi kepadamu tanpa engkau memintanya, nescaya engkau akan diberi pertolongan." (Hadis Sohih riwayat Imam Bukhari dalam kitab al-Ahkam)

daripada buku 'Qazaf mangsa fitnah, halaman 45-49

03 August 2009

Muslimat PAS Baling, Kedah antara yang ditahan

Posted by Aiman Athirah Al Jundi at Saturday, August 01, 2009
http://muslimatpaskedah.blogspot.com/2009/08/muslimat-pas-baling-kedah-antara-yang.html

Syabas Buat Kakak Ku Umi Kalthom Wahab Dan Maizon Ahmad

Saya baru dihubungi oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Baling yang memaklumkan bahawa dua orang Srikandi Muslimat PAS Baling iaitu Kak Umi Kalthom dan Kak Maizon telah pun ditahan bersama lebih kurang 50 orang pejuang-pejuang kebangkitan rakyat dari seluruh negara. Mereka ditahan di Masjid Negara. Kebanyakan yang berada di situ juga telah "dihalau" agar meninggalkan masjid ! AlhamduliLlah...inilah mahar yang perlu dibayar oleh pejuang-pejuang rakyat yang prihatin terhadap saudara-saudaranya yang didzalimi Pemerintah di bawah kuku besi Najib Satu Malaya!

Sebentar ini saya dapat bercakap dengan Kak Umi Kalthom dan sempat memberikan pandangan dan nasihat khususnya ketikamana berada dalam kongkongan kedzaliman UBN. Azam dan semangat mereka tinggi. Bagi pihak sahabat-sahabat kepimpinan Dewan Muslimat PAS di semua peringkat kita merakamkan ucapan syabas dan tahniah. La tahzan!
Allahu Akbar! Hidup ruh jihad para syahidah dalam diri para Muslimah!

MESYUARAT PENYELARASAN 2 "JOM SERTAI PAS"

Berikut merupakan butiran lengkap mesyuarat:

Tarikh : 4 Ogos 2009
Hari : Selasa
Masa : 8.30 Malam
Tempat : Markas PAS Kupang

Agenda :
1. Jumlah Penyertaan
2. Senarai Keahlian PAS
3. KONVOI
4. Majlis Pelancaran

Kepada semua Ketua & Setiausaha Pemuda Cawangan sila ambil tindakan dan diwajibkan hadir demi merealisasikan matlamat perjuangan

VIDEO MANSUH ISA 1 Ogos 2009

MUKTAMAR TAHUNAN DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN BALING 2010

ANUGERAH UKJ TERBAIK SESI 2007 DARI Y.A.B PESURUHJAYA PAS KEDAH

ANUGERAH UKJ TERBAIK SESI 2007 DARI Y.A.B PESURUHJAYA PAS KEDAH

Sahabat-sahabat