Lebih 25 tahun kita dalam PAS hidup aman, selesa dan sentosa selepas hadirnya kepimpinan ulama. Sewajibnya kita mensyukurinya. Keselesaan kita itu telah banyak membantu kita untuk membantu masyarakat mengenali kita secara lebih dekat.
Adakah anda menjangkakan Allah tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang menggugat kestabilan yang kita kecapi itu? Bahkan, ujian Allah tetap berlaku dan tiada siapa tahu dari daerah mana ujian itu datang. Yang pasti, ujian itu datang untuk menukar keamanan kepada perpecahan.
Dalam aman kita lena terbuai. Dalam kocakan kita sedar dan bersedia. Ertinya, ujian itu penuh hikmah. Allah menginginkan kita untuk tidak lena dan sentiasa berjaga – jaga. Siapa lena di dunia ini, dia tidak akan lena di akhirat nanti.
Semakin ujian itu sukar, semakin besarlah kesannya, baik ataupun buruk. Samada kita keluar daripadanya dengan seribu kebaikan atau jika sebaliknya, dengan seribu keburukan.
Pernahkah anda melihat atau mendengar mengenai perselisihan di antara dua kumpulan dalam agama yang mengelirukan sekali. Ditelan mati anak diluah mati ibu? Apatah di sebelah adalah Ali dan di sebelah lagi adalah Aisyah ( radiaLlahu anhuma ). Ia begitu sukar tetapi siapa dapat menjangka ujian Allah?
Yang penting anda mesti kena selamat. Duduk pada kedudukan yang selamat dan diredhaiNya.
Yakinlah pada pertolongan Allah. Membuat semakan/penyiasatan ke atas sesuatu perkara dan bernekad dengannya. Mungkin berat untuk menyatakan pendirian di depan mereka yang membuat fitnah. Apatah lagi bila mana anda pula yang dituduh menggalakkan fitnah.
Untuk berdepan dengan situasi ini hendaklah;
1) Anda mesti ikhlas
2) Anda mesti memohon pembebasan denganNya daripada keburukan fitnah itu
3) Anda mesti adil menilai
4) Anda mesti menjaga adab dengan Allah dan sesama makhluk
5) Anda mesti merujuk kepada sumber yang pertama
6) Anda mesti mendengar daripada semua dan mengambil yang terbaik
7 ) Anda mesti menapis daripada perkhabaran sang fasiq dan munafik
8 ) Anda mesti kepinginkan kesatuan, bukan perpecahan.
9 ) Anda jangan mengambil bahagian atau kacau daun tak tentu pasal
10) Anda jangan berkata dusta, mengejek dan menghuru harakan
11) Anda jangan nak jadi hero.
petikan dan sutingan daripada : Nik Abduh Nik Aziz
No comments:
Post a Comment